Walaja

March 18, 2011 § 1 Comment


Informasi berkenaan Peperangan Walaja

  1. Berlaku pada Mei 633 Masihi.
  2. Berlaku dalam tempoh sebulan selepas pertempuran di al-Madhar di antara tentera Islam pimpinan Khalid al-Walid r.a dengan tentera Parsi Sassanid pimpinan Qarin bin Qaruyanas.
  3. Pertempuran berlaku di Walaja.

Parsi Sassanid menaruh dendam

  1. Kekalahan berturut-turut Empayar Parsi Sassanid dalam pertempuran di Kazima dan al-Madhar memalukan Maharaja Yazdegerd III dan empayar itu sendiri.
  2. In ditambah pula dengan kematian Qarin, seorang panglima perang Empayar Parsi Sassanid yang terhebat.
  3. Yazdegerd III mengerahkan tentera dari seluruh jajahan Empayar Parsi Sassanid, kecuali yang berkawal di sempadan Empayar Rom Byzantine, untuk berkumpul di Ctesiphon.
  4. Dua gerombolan tentera yang lebih ramai bergerak ke Walaja untuk bersatu menghalang kemaraan tentera Islam ke al-Hirah.

Parsi Sassanid Menuju ke Walaja

  1. Dari pusat pemerintahan Parsi Sassanid di Ctestiphon, gerombolan pertama yang dipimpin oleh Andarzaghar, gabenor Khurasan bergerak menelusuri pinggir Sungai Tigris, merentasi Sungai Tigris di Kaskar, bergerak ke barat laut dan merentasi Sungai Euphrates untuk tiba di Walaja.
  2. Saki-baki tentera yang terselamat dalam pertempuran di Kazima dan al-Madhar, serta ratusan orang Arab beragama Kristian yang setia kepada Empayar Parsi Sassanid menyertai gerombolan Andarzaghar.
  3. Beberapa hari kemudian, gerombolan kedua yang dipimpin oleh Bahman, pemimpin tertinggi dalam angkatan tentera Parsi Sassanid bergerak terus ke selatan menuju ke Walaja.

Tentera Islam memperkukuh kedudukan

  1. Kejayaan dalam pertempuran di al-Madhar membantu Khalid al-Walid r.a. mewujudkan jaringan pengintipan musuh yang lebih mantap, dengan bantuan orang-orang Arab tempatan.
  2. Tentera Islam bergerak menuju ke Walaja. Tentera Islam semakin menjauhi kawasan padang pasir dan mendekati kawasan Mesopotamia yang berlembah sungai yang subur dengan tanaman.
  3. Suwaid bin Muqarrin dan beberapa orang tentera Islam ditugaskan untuk mengawal kawasan sekitar Walaja yang telah ditawan, di samping mengawal hilir Sungai Tigris untuk menghalang tentera Parsi Sassanid yang melaluinya.
  4. Setibanya tentera Islam di Walaja, Andarzaghar sudah pun berada di situ bersama gerombolannya. Gerombolan Bahman belum kelihatan lagi.
  5. Khalid al-Walid r.a. merancang dua strategi:
    • Menumpaskan salah satu gerombolan tentera dengan pantas dan terancang, sebelum kedua-dua gerombolan tentera lawan bergabung.
    • Mengepung Walaja supaya dapat menghalang tentera lawan lari dari medan perang dan bersatu semula untuk bertempur.
  6. Adi bin Hatim dan ‘Asim bin Amr mengetuai sayap kanan dan kiri tentera Islam.

Pertempuran bermula

(Klik gambar untuk melihat simulasi pertempuran)

al-Madhar

March 18, 2011 § Leave a comment


Informasi tentang peperangan di al-Madhar

  1. Berlaku pada 633 M, sejurus selepas Peperangan al-Salasil.
  2. Dikenali sebagai Peperangan Sungai, kerana berlaku di al-Madhar, pinggir Sungai Euphrates.

Kesinambungan al-Salasil

  1. Kemenangan tentera Islam pimpinan Khalid al-Walid r.a di Kazima menggerakkan kekuatan Islam ke Uballa.
  2. Uballa pangkalan Empayar Parsi Sassanid di sempadan.

Ketakutan tentera lawan

  1. Kekalahan tentera Parsi Sassanid dan kematian Hormuz di Kazima sampai ke pengetahuan Maharaja Yazdegerd III, Empayar Parsi Sassanid yang berpusat di Ctesiphon.
  2. Yazdegerd III telah mengarahkan Qarin bin Qaruyanas beserta ribuan bala tentera untuk melindungi Uballa, pangkalan penting Parsi Sassanid di sempadan.
  3. Tentera Parsi Sassanid yang terselamat dari pertempuran di Kazima kembali ke Uballa, termasuk dua orang panglima, Qubaz dan Anushjan.
  4. Qubaz dan Anushjan menyertai pasukan tentera baru di bawah pimpinan Qarin.
  5. Cerita tentang kekuatan tentera Islam melemahkan semangat Qarin untuk berperang.
  6. Qarin memilih al-Madhar sebagai lokasi peperangan berbanding Uballa sendiri.
  7. al-Madhar yang terletak di tepi Sungai Euphrates memudahkan Qarin dan bala tenteranya melarikan dari jika tewas.

Peperangan tercetus di al-Madhar

  1. Khalid al-Walid r.a. dan tentera Islam menuju ke al-Madhar dan menghantar sekumpulan kecil tentera Islam diketuai Muthanna bin Harith untuk ke al-Madhar lebih awal bagi mengintip kekuatan pihak lawan.
  2. Tentera Islam mendapati ratusan kapal telah pun berada di pinggir Sungai Euphrates di al-Madhar, lantas memahami bahawa pihak lawan lebih cenderung untuk melarikan diri daripada bertempur.
  3. Tentera Islam berhadapan dengan lebih 15 ooo orang tentera Parsi Sassanid dan membentuk pasukan tengah, sayap kiri dan sayap kanan. Kedua-dua pasukan sayap masing-masing diketuai oleh Adi bin Hatim dan ‘Asim bin Amru.
  4. Pertempuran satu lawan satu diadakan di antara Khalid dengan Qarin, namun Qarin dibunuh oleh seorang pahlawan Islam Maakal bin al-‘Asha.
  5. Qubaz dan Anushjan tampil untuk bertarung satu lawan satu, masing-masing dengan Adi dan ‘Asim. Kedua-dua pertarungan berpihak kepada Islam.
  6. Pertempuran sengit tercetus dan tentera Islam menang mudah ke atas tentera Parsi Sassanid.
  7. Tentera Islam berjaya menguasai al-Madhar dan Uballa.

al-Salasil

March 18, 2011 § Leave a comment


Informasi berkenaan Peperangan al-Salasil

  1. Berlaku pada April 633 Masihi.
  2. Pertempuran pertama dalam fasa penaklukan pertama tentera Islam ke atas wilayah Empayar Parsi Sassanid.
  3. Peperangan al-Salasil juga disebut Peperangan Berantai.

Detik-detik awal peperangan

  1. Muthanna bin Harith, seorang ketua kabilah Arab beragama Islam yang tinggal bersempadan dengan tanah jajahan Empayar Parsi Sassanid bersama orang-rangnya berjaya menyerang dan menawan beberapa pekan kecil di bawah jajahan Parsi di sempadan.
  2. Berita ini dikhabarkan kepada Khalifah Abu Bakar r.a. di Madinah, lalu Khalifah mencadangkan agar risalah Islam dimulakan penyebarannya ke wilayah jajahan Empayar Pasri Sassanid di bahagian tenggara.
  3. Tambahan pula, pemberontakan golongan ar-Riddah di Tanah Arab baru sahaja dihapuskan oleh 11 batalion tentera Islam yang dibentuk oleh Khalifah.
  4. Khalid al-Walid r.a. yang masih berada di Yamamah dipanggil untuk mengetuai tentera Islam menawan tanah jajahan pihak lawan, dengan menjadikan bandar al-Hirah sebagai sasaran.
  5. Khalid al-Walid memohon kepada Khalifar Abu Bakar r.a. agar sepasukan tentera tambahan dihantar untuk menyertainya.
  6. Khalid al-Walid r.a. bersama 2 000 orang tentera Islam di bawahnya dari Yamamah bersatu dengan 8 000 orang tentera sukarela yang berasal dari tanah jajahan Islam di sempadan.
  7. Tentera Islam kebanyakannya berkuda dan berunta.
  8. Sebelum peperangan tercetus, surat diutuskan kepada Hormuz, seorang Gabenor Parsi Sassanid di kawasan sempadan.

“Masuklah ke dalam agama Islam, nescaya kamu tidak akan diapa-apakan. Jika tidak mahu, bayarlah jizyah, nescaya kamu dan orang-orang kamu akan mendapat perlindungan kami. Jika tidak mahu, kamulah yang akan menjadi penyebab terhadap peperangan yang akan berlaku kelak.”

Kekuatan lawan

  1. Empayar Parsi Sassanid (224 – 651 AD) merupakan fasa empayar Parsi yang ketiga dan terakhir selepas Empayar Parsi Archaemenid (538-330 BC) dan Empayar Parsi Parthian (247 BC – 224 AD)
  2. Fasa akhir Empayar Parsi Sassanid di bawah pemerintahan Yazdegerd III ini menyaksikan kelemahan empayar itu sendiri secara keseluruhan kerana beberapa faktor: peperangan yang berpanjangan dengan Empayar Rom Byzantine, krisis pemerintahan, krisis ekonomi dan pemberontakan dalaman.
  3. Hormuz mengetuai angkatan perang Parsi Sassanid dengan kekuatan 40 000 tentera berjalan kaki lengkap bersenjata yang berasaskan besi beserta kabilah-kabilah Arab yang bersekutu.

Helah sebelum peperangan


  1. Khalid al-Walid r.a. mengambil peluang melemahkan tentera lawan.
  2. Khalid mengumpan Hormuz dengan mengatakan tentera Islam akan tiba ke Uballa dari Kazima.
  3. Hormuz membawa tenteranya dari Uballa, berjalan menuju ke Kazima, dengan harapan akan bertemu dan bertempur di pertengahan jalan.
  4. Uballa adalah kubu kuat tentera Parsi Sassanid di sempadan wilayah Islam.
  5. Perjalanan yang jauh dan panas melalui padang pasir, ditambah lagi dengan senjata besi yang berat melemahkan tentera Hormuz.
  6. Khalid sebenarnya menuju ke Uballa melalui Hufeir.
  7. Hormuz mengetahui keadaan yang sebenar lalu mengarahkan tenteranya kembali ke Hufeir secepat mungkin.
  8. Apabila mengetahui pasukan lawan semakin menghampiri Hufeir, Khalid al-Walid r.a. mengarahkan pasukannya menuju ke Kazima.
  9. Pihak lawan mengubah haluan ke Kazima pula, dalam keadaan yang sangat letih.

Pertempuran tercetus

  1. Setibanya di Uballa, Hormuz membentuk 3 pasukan tentera; pasukan kiri, pasukan tengah dan pasukan kanan.
  2. Qubaz dan Anushjan mengetuai sayap kanan dan kiri lawan.
  3. Tentera Parsi Sassanid merantai kaki mereka mengikut barisan dalam pasukan supaya menjadi benteng pertahanan dan peperangan yang mantap.
  4. Pertarungan satu lawan satu antara Khalid al-Walid r.a. dengan Hormuz dibuat.
  5. Hormuz mengarahkan seorang panglima tenteranya berada berhampiran semasa pertempuran satu lawan satu, agar mudah membunuh Khalid sekiranya dia ditewaskan.
  6. Tatkala Khalid hampir membunuh Hormuz, panglima perang pihak lawan itu menyerang Khalid tetapi sempat dibunuh oleh al-Qa’qa bin Amr.
  7. al-Qa’qa’ bin Amr sebenarnya baru sahaja tiba di Kazmima, dan adalah satu-satunya tentera Islam yang dihantar oleh Khalifah Abu Bakar r.a. dari Madinah berbanding sepasukan yang diminta oleh Khalid.
  8. Kematian Hormuz menyebabkan tentera Islam bersemangat untuk bertempur pihak lawan.
  9. Peperangan berakhir dalam tempoh yang singkat berikutan Qubaz dan Anushjan mengisytiharkan kekalahan.

Selepas pertempuran

  1. Tentera Islam berjaya menguasai Kazima dan mendapat harta rampasan perang yang sangat banyak.
  2. Ini termasuklah seekor gajah, yang dihantar ke Madinah sebelum dipulangkan kembali ke Mesopotamia.

bermula dengan kelembutan

March 17, 2011 § 1 Comment


Sebelum ditauliah menjadi seorang Rasul penyampai risalah Allah, Muhammad s.a.w telah pun melalui satu tempoh kehidupan yang panjang sebagai seorang yang ditarbiyyah sendiri oleh Allah s.w.t.

Satu demi satu kehilangan kaum keluarga yang disayangi, patut dilihat ibrahnya sebagai persediaan jiwa dan perasaan untuk baginda: kebergantungan perasaan terhadap individu lain dan kekuatan hati untuk berdikari adalah sifat-sifat yang mahu dipupuk.

Tidak cukup dengan itu, Muhammad dibawa jauh daripada kesibukan dan kekufuran Kota Mekah ke satu perkampungan terpencil yang memberi bi’ah (suasana) yang baik untuk baginda. Inilah kehidupan kanak-kanak baginda sebagai anak susuan kepada Halimah Sa’adiah.

Muhammad s.a.w dibedah dada dan disucikan hatinya oleh Allah s.w.t: Dialah satu-satunya tempat dan jalan untuk sucikan hati kita, bukanlah dengan benda-benda lain yang bersifat fizikal semata-mata.

Inilah perkara-perkara yang mesti dititik beratkan buat mereka yang mahu baru ditarbiyyah; berdikari dari aspek jiwa dan emosi, berada dalam bi’ah solehah, didikan hati dengan ilmu dan amal yang asas tetapi paling utama, dan akhirnya sentiasa bergantung kekuatan daripada Allah s.w.t.

Muhib (orang yang mula menyukai Islam) mesti ditatang dan dididik dengan baik, umpama anak kecil yang masih bertatih, dengan syarat dia mesti tahu apa yang sebenarnya dia perlu capai, dan apa yang kita boleh bantu untuk dia capai.

Saya sangat merasai bahawa usrah (sumber tarbiyyah yang utama) yang saya lalui bersifat sebegini: tersembunyi, jauh dari kejahiliyyahan manusia, penuh dengan ilmiah Islamiyyah yang menggetar hati.

Berniatlah, segala-galanya adalah kerana Allah. Semoga kita istiqamah dengan tarbiyyah, dan beriltizam untuk menjadi seseorang yang bekerja untuk Islam.

P/s: Tak reti letak gambar bila berblog melalui WordPress for Blackberry ni!

maksimum

March 16, 2011 § 1 Comment


Syarat untuk mendapatkan bantuan daripada Allah ada dua:

Pertama, pengharapan kepada Allah supaya usaha kita dibantu dan dipermudah oleh-Nya. Niat yang ikhlas kerana-Nya, berharap bersungguh-sungguh, berdoa sebanyak mungkin. Rasulullah s.a.w menangis mengharapkan ehsan Allah sebelum perang Badar bermula.

Kedua, berusaha semaksimum yang boleh sebagai seorang manusia. Seperti Musa a.s dihambat oleh Firaun, beliau membawa umatnya ke tempat paling jauh yang boleh; pinggir Laut Merah. Seperti para pejuang Islam di medan Badar, mereka bermatian-matian semaksimum mungkin dalam pertempuran sebelum bantuan dari langit tiba.

Pengharapan mesti datang sebelum usaha yang maksimum. Inilah kunci kemenangan Islam dalam peperangan Badar. Jika usaha datang sebelum pengharapan, itulah faktor kekalahan Islam di medan Uhud.

Berharap tanpa berusaha, jangan harap Allah akan membantumu.

Berusaha sekadar biasa-biasa, belum tentu Allah akan membantumu.

Yamamah

March 14, 2011 § 2 Comments


Informasi berkenaan Peperangan Yamamah

  1. Berlaku pada penghujung 632 Masihi.
  2. Salah satu daripada pertempuran terawal selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., antara Tentera Islam dengan golongan ar-Riddah.
  3. Pertempuran berlaku di Aqraba, wilayah Yamamah (kini dalam wilayah Najd), timur Madinah.

Sebab peperangan

  1. Begitu ramai orang Islam murtad selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.
  2. Malah ada beberapa individu yang mengaku diri mereka adalah Nabi selepas Muhammad s.a.w.
  3. Peperangan ke atas golongan ar-Riddah diisytiharkan oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a., dengan 11 batalion tentera Islam diwujudkan bagi menumpaskan golongan-golongan Murtad dan yang enggan membayar zakat di serata Tanah Arab.

Bibit-bibit peperangan

  1. Disebabkan kewujudan nabi-nabi palsu beserta para pengikut mereka berlaku di serata Tanah Arab, 11 batalion tentera Islam dibentuk oleh Khalifah Abu Bakar r.a.
  2. Khalifah Abu Bakar r.a. mengutus surat kepada Musailamah al-Kazzab dari Bani Hanifah, melalui Habib bin Zaid untuk mengajaknya kembali kepada Islam.
  3. Musailamah menolak ajakan tersebut, malah menyuruh Habib mengakui bahawa dirinya adalah seorang Nabi.
  4. Habib bin Zaid dipotong anggota badan dan dibunuh kerana tidak mengikut kehendak Musailamah.

Kekuatan Tentera Islam

  1. Salah satu batalion tentera Islam yang diketuai Ikrimah bin Abu Jahal diarahkan untuk bertempur dengan Musailamah al-Kazzab di Yamamah.
  2. Pada awalnya, Ikrimah dan pasukan pimpinan beliau hanya diarahkan untuk mengepung tentera Musailamah agar tidak keluar dari Yamamah, sementara menantikan Khalid al-Walid dan pasukannya tiba.
  3. Syurahbil bin Hasanah dan pasukan pimpinannya diarahkan untuk menyertai Ikrimah di Yamamah.

Cabaran-cabaran Tentera Islam

  1. Setelah beberapa lama, Khalid al-Walid masih belum tiba di Yamamah.
  2. Ikrimah tidak sabar lagi untuk bertempur lalu memulakan pertempuran dengan tentera Musailamah. Ini berlaku pada Oktober 632 Masihi.
  3. Pasukan Ikrimah tewas, lalu surat berisi berita kekalahan tentera beliau diutuskan kepada khalifah di Madinah.
  4. Khalifah Abu Bakar r.a. marah dan kecewa dengan tindakan terburu-buru Ikrimah lalu mangarahkan Ikrimah dan pasukannya membantu Afraja bin Harsama  di Mahra dan Muhajir bin Abu Umayyah di Yaman bagi menghapuskan pemberontak di sana.
  5. Khalifah turut mengutuskan surat kepada Syurahbil, yang bertulis … “Tunggu di Yamamah, tunggu arahan berikutnya.”
  6. Syurahbil turut merasai apa yang Ikrimah rasa: mahu cepat bertempur dan meraih kemenangan.
  7. Pertempuran berlaku dan pasukan Syurahbil juga tewas.

Pertempuran sebenar

  1. Musailamah al-Kazzab membentuk pasukan kiri, tengah dan kanan. Rajjal memimpin sayap kiri, Musailamah memimpin pasukan tengah, dan Muhakim bin Rajjal memimpin sayap kanan.
  2. Khalid al-Walid bersama kekuatan 15 000 tentera Islam turut menggunakan strategi yang sama. Beliau memimpin pasukan tengah, Zaid bin Khattab memimpin sayap kanan manakala Abu Huzaifah memimpin sayap kiri.
  3. Pertempuran berlaku antara kedua-dua pasukan, dengan kekuatan pada awalnya berpihak kepada tentera Islam.
  4. Musailamah mengarahkan tenteranya menyerang pasukan tentera Islam, menyebabkan tentera Islam berasa terdesak dan berundur.
  5. Disebabkan ramai tentera Islam yang syahid, Khalid mengarahkan tentera Islam berundur dari medan pertempuran.
  6. Strategi baru dibuat dengan membentuk pasukan-pasukan kecil mengikut kabilah masing-masing?
  7. Khalid al-Walid menawarkan pertempuran satu lawan satu dengan pasukan lawan, lalu cabaran tersebut diterima.
  8. Cabaran tersebut dibuat untuk mengumpan Musailamah keluar ke tengah-tengah medan perang untuk dibunuh. Dengan ini, pasukan lawan akan menjadi lemah.
  9. Satu-persatu orang kuat pasukan lawan tumpas di tangan Khalid al-Walid, dan beliau kini semakin hampir dengan kedudukan Musailamah.
  10. Khalid terus mendapatkan Musailamah, tetapi Musailamah sempat melarikan diri lebih pantas untuk menyelamatkan diri.

Ke arah kemenangan Islam

  1. Pasukan Musailamah semakin lemah dengan kematian ramai orang-orang kuatnya, di samping kehilangan semangat untuk bertempur setelah menyaksikan Musailamah sendiri lari menyelamatkan diri daripada Khalid al-Walid.
  2. Pasukan Musailamah berundur dan mempertahankan diri mereka di dalam taman yang bertembok kukuh, manakala Muhakim bin Rajjal beserta pasukannya bertahan di sekeliling tembok.
  3. Muhakim berjaya dipanah mati oleh Abdul Rahman bin Abu Bakar, anak kepada khalifah.
  4. al-Bara’ bin Malik dan beberapa orang tentera Islam memanjat tembok dan membuka pintu tembok dari dalam.
  5. Pertempuran hebat berlaku di dalam taman bertembok tersebut, dengan Musailamah sendiri turut bertempur dengan pedang.
  6. Wahsyi bin Harb merejam tombak yang pernah digunakan untuk membunuh Hamzah r.a. sewaktu pertempuran Badar ke arah Musailamah.
  7. Tombak Wahsyi menembusi perut Musailamah, sebelum Abu Dujanah bin Kharasha memenggal kepalanya.
  8. Kematian Musailamah menyebabkan pasukan lawan mengaku kalah.
  9. Jumlah tentera Islam yang hidup selepas pertempuran ialah 2 000 orang.

Selepas peperangan

  • Melalui izin Khalifah Abu Bakar r.a., Khalid al-Walid r.a. bertanyakan kepada tentera Islam pimpinannya jika mereka mahu pulang ke tempat asal masing-masing.
  • Hanya 2 000 orang tentera Islam yang bersama Khalid, memandangkan yang lain-lain berhasrat untuk pulang.
  • Khalifah Abu Bakar r.a. mengarahkan Khalid al-Walid r.a. memulakan kempen memimpin tentera Islam untuk membuka wilayah baru Islam daripada tanah jajahan Empayar Parsi di timur.

Umar al-Khattab r.a berkata kepada Khalifah Abu Bakar r.a., …

“Sesungguhnya peperangan Yamamah telah meragut ramai qurra’ (pakar bacaan dan penghafaz) al-Quran. Saya bimbang kematian ramai qurra’ ini akan menyebabkan al-Quran banyak yang hilang. Saya berpandangan agar tuan memerintahkan supaya al-Quran dikumpulkan.”

Abu Bakar r.a. menjawab, …

“Bagaimana saya hendak melakukan sesuatu tindakan sedangkan Rasulullah s.a.w. tidak melakukannya.”

Balas Umar r.a., …

“Demi Allah perkara tersebut adalah tindakan yang baik.”

Khalifah Abu Bakar r.a. lantas mencari Zaid bin Tsabit lalu berkata kepadanya, …

“Kamu adalah pemuda yang cerdik dan saya tidak meragui keperibadianmu. Dahulu kamu adalah penulis wahyu Rasulullah s.a.w.. Oleh itu halusilah keadaan al-Quran.”

Kata Zaid, …

“Demi Allah jika Khalifah mempertanggungjawabkan saya memindahkan mana-mana gunung, ia lebih ringan daripada tanggungjawab tersebut (mengumpulkan al-Quran).”

  • Proses pengumpulan Al-Quran dimulakan.

“Aku memulakan pengumpulan tulisan-tulisan al-Quran pada kulit-kulit kayu, tulang-tulang, pelepah tamar, serta pencarian ke atas huffaz al-Quran yang ada. Aku bertemu Khuzaimah bin Tsabit dan mendapatkan dua ayat dari al-Bara’ah yang tidak aku temui dari tempat lain:

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.” (at-Taubah: 128-129)

(Sahih al-Bukhari, Vol 6, p.478)

Ikutlah semuanya

March 12, 2011 § 3 Comments


Ana petik kata-kata Mursyid Am Ikhwan Muslimin ke-8, Dr. Mohammad Badee’:

“Kami ialah pergerakan dakwah salafi, pengamal sunnah (toriqah sunniyah), hakikat sufi (haqiqah sufiyyah), parti politik (hai’ah siyasiyah), kumpulan sukan (jamaah riyadhiyyah), persatuan kebudayaan dan ilmiyah (rabitah ilmiyyah thaqafiyyah), dan syarikat perekonomian (syirkah iqtisodiyyah) dan idealisma sosial (fikrah ijtima’iyyah), sepertimana yang telah disebut di dalam Al-Quran:

”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas:77).

Secara ringkasnya, apa yang kita boleh ambil iktibar rijal dakwah ialah:

  • Salafi sebagai contoh: Membina kekuatan umat Islam mesti melalui cara yang sebenar-benarnya seperti Rasulullah s.a.w dan generasi terawal Islam buat; bina individu Muslim melalui aqidah Islamiyyah yang kuat, dan seterusnya. Unsur bid’ah mesti dikenal pasti dan dihalang selagi tidak membawa mudharat semasa.
  • Sufi sebagai contoh: Sentiasa beribadah, berdua-duaan dan merintih kepada Allah dengan sebenar-benarnya.
  • Faham dan dalami hadis dan sunnah Rasulullah s.a.w daripada yang terkecil sehingga yang terbesar, dan yang paling penting, amalkan sebanyak mana yang termampu.
  • Menguasai ilmu pemerintahan dan politik serta mengambil tahu percaturan politik semasa.
  • Bersukan dan beriadhah, sihat dan hebat tubuh badan, aktif dan cergas bekerja.
  • Menguasai ilmu akademik dan non-akademik yang diminati agar ada pintu masuk kepada masyarakat setempat.
  • Berusaha berdikari dan tidak bergantung punca rezeki dengan orang lain i.e. tidak makan gaji.
  • Menjadi tokoh dan rujukan masyarakat setempat, dipandang mulia dan ada kedudukan dalam masyarakat.

Ustaz Halim pernah bercerita tentang takjubnya masyarakat Mesir dengan pemuda-pemuda Ikhwan Muslimin di sana; kelibat mereka selalu kelihatan berkejaran ke masjid untuk solat berjemaah setiap kali solat fardu; ibadat sunat, bacaan dan hafalan al-Quran tidak pernah ditinggalkan; bersungguh-sungguh berniaga dan bekerja pada waktu kerja di siang hari, yang makan gaji pula pasti ada punca rezeki sendiri seperti berniaga; petangnya pula mereka ada memenuhi padang-padang dan gelanggang-gelanggang permainan untuk beriadhah; petang, malam atau hujnung minggu sibuk dengan kelas-kelas pengajian (berusrah dan bawa usrah), jadi AJK program, aktiviti bersama mad’u (individu yang didakwah), amal-amal sosial dan kemasyarakatan dan banyak lagi. Subhanallah, inilah sebenar-benar individu Muslim dan rijal dakwah yang mesti kita jadi.

Tiada apa yang kita sumbangkan sebenarnya. Malah tidak pernah kita merasakan kita punyai apa-apa kelebihan. Sebaliknya kita yakin apa yang Allah firmankan:

“Bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada kamu, kerana Dia-lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat: 17)

Betapa kita mengharapkan (jika boleh) agar hati-hati ini boleh ditunjukkan kepada seluruh umat ini supaya mereka boleh melihat bahawa apa yang ada di dalam hati-hati ini hanyalah rasa kasih sayang kepada mereka, rasa simpati dan kesediaan untuk berkorban demi kepentingan mereka.

Moga-moga mereka turut sama merasai kesedihan yang menyelubungi hati ini kerana melihat segala yang berlaku kini. Namun kita yakin Allah mengetahui segala hakikat ini. Hanya Allah sahaja tempat kita mengharapkan segala bantuan. Hanya Allah sahaja yang memimpin kita ke jalan yang betul. Hanya di tangan-Nya sahaja segala kunci hati manusia. Orang yang Allah berikan petunjuk, tiada siapa yang dapat menyesatkannya. Sementara orang yang disesatkan oleh Allah pula, tiada siapa yang dapat memimpinnya. Dialah tempat pergantungan kita dan Dialah sebaik-baik tempat bergantung. Bukankah Allah yang melindungi para hamba-Nya?

(Hassan al-Banna, Dakwah Kita)

Jika anda tidak mempunyai sifat-sifat sebegini, anda belum lagi seorang yang ideal untuk menjadi rijal dakwah, tetapi berusahalah ke arah itu.

Be Smart, Work Hard, Pray Hard.