bermula dengan kelembutan

March 17, 2011 § 1 Comment


Sebelum ditauliah menjadi seorang Rasul penyampai risalah Allah, Muhammad s.a.w telah pun melalui satu tempoh kehidupan yang panjang sebagai seorang yang ditarbiyyah sendiri oleh Allah s.w.t.

Satu demi satu kehilangan kaum keluarga yang disayangi, patut dilihat ibrahnya sebagai persediaan jiwa dan perasaan untuk baginda: kebergantungan perasaan terhadap individu lain dan kekuatan hati untuk berdikari adalah sifat-sifat yang mahu dipupuk.

Tidak cukup dengan itu, Muhammad dibawa jauh daripada kesibukan dan kekufuran Kota Mekah ke satu perkampungan terpencil yang memberi bi’ah (suasana) yang baik untuk baginda. Inilah kehidupan kanak-kanak baginda sebagai anak susuan kepada Halimah Sa’adiah.

Muhammad s.a.w dibedah dada dan disucikan hatinya oleh Allah s.w.t: Dialah satu-satunya tempat dan jalan untuk sucikan hati kita, bukanlah dengan benda-benda lain yang bersifat fizikal semata-mata.

Inilah perkara-perkara yang mesti dititik beratkan buat mereka yang mahu baru ditarbiyyah; berdikari dari aspek jiwa dan emosi, berada dalam bi’ah solehah, didikan hati dengan ilmu dan amal yang asas tetapi paling utama, dan akhirnya sentiasa bergantung kekuatan daripada Allah s.w.t.

Muhib (orang yang mula menyukai Islam) mesti ditatang dan dididik dengan baik, umpama anak kecil yang masih bertatih, dengan syarat dia mesti tahu apa yang sebenarnya dia perlu capai, dan apa yang kita boleh bantu untuk dia capai.

Saya sangat merasai bahawa usrah (sumber tarbiyyah yang utama) yang saya lalui bersifat sebegini: tersembunyi, jauh dari kejahiliyyahan manusia, penuh dengan ilmiah Islamiyyah yang menggetar hati.

Berniatlah, segala-galanya adalah kerana Allah. Semoga kita istiqamah dengan tarbiyyah, dan beriltizam untuk menjadi seseorang yang bekerja untuk Islam.

P/s: Tak reti letak gambar bila berblog melalui WordPress for Blackberry ni!

Ikutlah semuanya

March 12, 2011 § 3 Comments


Ana petik kata-kata Mursyid Am Ikhwan Muslimin ke-8, Dr. Mohammad Badee’:

“Kami ialah pergerakan dakwah salafi, pengamal sunnah (toriqah sunniyah), hakikat sufi (haqiqah sufiyyah), parti politik (hai’ah siyasiyah), kumpulan sukan (jamaah riyadhiyyah), persatuan kebudayaan dan ilmiyah (rabitah ilmiyyah thaqafiyyah), dan syarikat perekonomian (syirkah iqtisodiyyah) dan idealisma sosial (fikrah ijtima’iyyah), sepertimana yang telah disebut di dalam Al-Quran:

”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas:77).

Secara ringkasnya, apa yang kita boleh ambil iktibar rijal dakwah ialah:

  • Salafi sebagai contoh: Membina kekuatan umat Islam mesti melalui cara yang sebenar-benarnya seperti Rasulullah s.a.w dan generasi terawal Islam buat; bina individu Muslim melalui aqidah Islamiyyah yang kuat, dan seterusnya. Unsur bid’ah mesti dikenal pasti dan dihalang selagi tidak membawa mudharat semasa.
  • Sufi sebagai contoh: Sentiasa beribadah, berdua-duaan dan merintih kepada Allah dengan sebenar-benarnya.
  • Faham dan dalami hadis dan sunnah Rasulullah s.a.w daripada yang terkecil sehingga yang terbesar, dan yang paling penting, amalkan sebanyak mana yang termampu.
  • Menguasai ilmu pemerintahan dan politik serta mengambil tahu percaturan politik semasa.
  • Bersukan dan beriadhah, sihat dan hebat tubuh badan, aktif dan cergas bekerja.
  • Menguasai ilmu akademik dan non-akademik yang diminati agar ada pintu masuk kepada masyarakat setempat.
  • Berusaha berdikari dan tidak bergantung punca rezeki dengan orang lain i.e. tidak makan gaji.
  • Menjadi tokoh dan rujukan masyarakat setempat, dipandang mulia dan ada kedudukan dalam masyarakat.

Ustaz Halim pernah bercerita tentang takjubnya masyarakat Mesir dengan pemuda-pemuda Ikhwan Muslimin di sana; kelibat mereka selalu kelihatan berkejaran ke masjid untuk solat berjemaah setiap kali solat fardu; ibadat sunat, bacaan dan hafalan al-Quran tidak pernah ditinggalkan; bersungguh-sungguh berniaga dan bekerja pada waktu kerja di siang hari, yang makan gaji pula pasti ada punca rezeki sendiri seperti berniaga; petangnya pula mereka ada memenuhi padang-padang dan gelanggang-gelanggang permainan untuk beriadhah; petang, malam atau hujnung minggu sibuk dengan kelas-kelas pengajian (berusrah dan bawa usrah), jadi AJK program, aktiviti bersama mad’u (individu yang didakwah), amal-amal sosial dan kemasyarakatan dan banyak lagi. Subhanallah, inilah sebenar-benar individu Muslim dan rijal dakwah yang mesti kita jadi.

Tiada apa yang kita sumbangkan sebenarnya. Malah tidak pernah kita merasakan kita punyai apa-apa kelebihan. Sebaliknya kita yakin apa yang Allah firmankan:

“Bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada kamu, kerana Dia-lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat: 17)

Betapa kita mengharapkan (jika boleh) agar hati-hati ini boleh ditunjukkan kepada seluruh umat ini supaya mereka boleh melihat bahawa apa yang ada di dalam hati-hati ini hanyalah rasa kasih sayang kepada mereka, rasa simpati dan kesediaan untuk berkorban demi kepentingan mereka.

Moga-moga mereka turut sama merasai kesedihan yang menyelubungi hati ini kerana melihat segala yang berlaku kini. Namun kita yakin Allah mengetahui segala hakikat ini. Hanya Allah sahaja tempat kita mengharapkan segala bantuan. Hanya Allah sahaja yang memimpin kita ke jalan yang betul. Hanya di tangan-Nya sahaja segala kunci hati manusia. Orang yang Allah berikan petunjuk, tiada siapa yang dapat menyesatkannya. Sementara orang yang disesatkan oleh Allah pula, tiada siapa yang dapat memimpinnya. Dialah tempat pergantungan kita dan Dialah sebaik-baik tempat bergantung. Bukankah Allah yang melindungi para hamba-Nya?

(Hassan al-Banna, Dakwah Kita)

Jika anda tidak mempunyai sifat-sifat sebegini, anda belum lagi seorang yang ideal untuk menjadi rijal dakwah, tetapi berusahalah ke arah itu.

Be Smart, Work Hard, Pray Hard.

kenapa boleh bersatu untuk bising?

March 10, 2011 § Leave a comment


Sebelum melelapkan mata dengan zikir hati, saya ada terfikir apa yang boleh menyebabkan manusia boleh bersatu untuk menentang sesuatu.

Berdasarkan pemerhatian, bersatu dalam penentangan itu wujud apabila kehidupan, keperluan hidup, punca rezeki diganggu. Contohnya macam kenaikan harga petrol dan tol, bekalan gula dan minyak masak berkurang, rumah kedai diroboh dan sebagainya.

Sebab lain adalah berkaitan dengan perasaan cinta dan kasih terhadap sesuatu. Sekolah sebagai contoh, pertukaran nama sekolah yang pernah melakar seribu satu kenangan. Contoh lain seperti pemimpin yang disayangi ditentang dan difitnah. Ini semua adalah bersifat sentimental semata-mata.

Kedua-dua faktor ke arah kesepaduan untuk menentang ini selalunya bersifat sementara dan akan hilang begitu sahaja, kerana tidak bersandar kepada sesuatu yang kekal.

Contoh yang lebih relevan ialah bersatu menentang Zionis penghancur Palestin. Boleh jadi banyak faktor, benci Zionis, kemanusiaan, hak asasi manusia, kasihankan rakyat Palestin. Faktor-faktor ini betul, tetapi tak menjamin kesepaduan yang utuh dan bernafas panjang.

Sandaran kepada Islam adalah sebaik-baik faktor kenapa kita bersatu, tanpa mengira isu apa yang diperjuangkan, selagi mana isu berkait dengan tuntutan agama suci itu sendiri.

Malang juga sebenarnya kalau manusia bersatu menentang sesuatu yang tidak perlu.

setiap jawatan adalah amanah

February 27, 2011 § 1 Comment


Baru-baru ini ada terbaca artikel (mungkin keluhan) berkenaan valuenya pangkat atau jawatan kepada seseorang. Kisahnya berkenaan seorang yang ada pangkat yang tinggi, dia tanpa semena-mena menghambur kata-kata yang tidak elok kepada orang lain, golongan marhaen mungkin.

Wallahu a’lamu bissawab, mungkin dia rasa dia hebat dengan pangkat dan kuasa yang dia ada, dia boleh sesuka hati berbuat sedemikian kepada orang lain.

Hal ini relevan juga kepada seorang penggerak dakwah. Kita sentiasa ditaklifkan dengan jawatan demi jawatan, pangkat demi pangkat untuk memudahkan sesuatu urusan. Kita mesti ingat yang segala jawatan yang kita pegang adalah tanggungjawab dan amanah, bukan satu level selamat yang membolehkan kita berehat.

Khalid al-Walid r.a yang pernah memegang pangkat ketua tentera Islam semasa Perang Yarmuk (jawatan yang lebih hebat daripada apa yang kita pegang sekarang!) terus bertukar pangkat dengan Abu Ubaidah r.a. setelah diarahkan oleh Khalifah Umar r.a.

Adakalanya kita dipimpin oleh orang yang lebih muda, ataupun orang yang pernah bekerja di bawah kita. Adakah kita akan rasa tergugat?

Pangkat adalah amanah, bukan diberi berdasarkan usia atau apa-apa.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (3:185)

p/s: Kalau anda bertemu dengan seseorang yang bangga dengan pangkatnya, katakan padanya, “Sesungguhnya kamu mangsa tipu daya, ha ha ha!”

Ajaran yang memandu fitrah

February 26, 2011 § Leave a comment


Baru-baru ini sempat berusrah bersama ikhwah di kawasan Perak, membincangkan tafsir surah at-Talaq bahagian pertama. Apa yang lebih menarik hati untuk tazkirah ialah mukaddimah Juzuk 28 dan mukaddimah tafsir surah tersebut.

Juzuk 28 kebanyakannya lebih kepada pensyariatan beberapa sistem dan budaya hidup Islam yang memerlukan penerapan sedikit demi sedikit kepada penduduk Islam di Madinah. Salah satu sistem yang disyariatkan ialah sistem perkahwinan Islam (atau munakahat). Surah at-Talaq sendiri berkisarkan tentang hukum-hakam penceraian secara Islam.

Ada satu poin yang menarik ialah sistem perkahwinan Islam meningkatkan hubungan suami dan isteri ke tahap yang lebih istimewa dan mulia – Islam adalah sistem kekeluargaan itu sendiri, Islam menjaga asas suci perkembangan zuriat generasi manusia. Islam tidak menafikan kewujudan perasaan dan hawa nafsu dalam diri masusia, tetapi mangangkat kedua-duanya ke martabat yang tinggi, seolah-olah antara langit dan bumi.

Satu poin yang menarik ialah, turunnya hukum-hakam berkaitan munakahat ini berdepan dengan keadaan umat Islam awal yang masih mewarisi saki-baki jahiliyyah peninggalan nenek-moyang terdahulu – martabat wanita, minat dan hubungan sesama jantina dan sebagainya.

Persoalan yang sepatutnya bermain dalam kepala kita, kenapa hebatnya munakahat Islami ini seperti tidak ‘hebat’ sewaktu ia disyariatkan dahulu?

Apa-apapun, lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik (24:26).

begini sejarahnya II

January 27, 2011 § Leave a comment


Orang Melayu asalnya sinonim dengan ciri-ciri penyantun, bijak bermadah, pandai berpuisi, bertutur pun puitis.

“Takkan Melayu hilang di dunia”

Semua orang Melayu tahu frasa klasik ini, bukan? Frasa ini muncul pada zaman akhir kegemilangan Melayu Melaka. Pada masa ini Melayu Melaka gemilang dengan Islam yang dibawa oleh para pendakwah dari empayar Abbasiyyah.

Islam di Melaka mula retak dengan kehadiran pedakyah-pendakyah Portugis yang mahu meranapkan wilayah Islam di hujung dunia ini.

‘Kalau roboh Kota Melaka, Papan di Jawa hamba dirikan!”

Seperti yang semua orang tahu, Empayar Melayu Melaka pun jatuh.

Kerana izzahnya dengan Islam, orang-orang Melayu berkata

“Takkan Melayu hilang di dunia”

Faham betul-betul, orang Melayu pada zaman itu berkata sedemikian dengan memahami Islamlah punca kegemilangan orang Melayu.

Frasa klasik itu pun diperturunkan dari generasi ke generasi, tapi sayangnya kefahaman mengapa frasa itu tidak pula diperturunkan seiringan!

Melayu itu alat, Islam itu matlamat. Allahu ghayatuna!

begini sejarahnya

January 27, 2011 § Leave a comment


  1. Teringat semasa sekolah di waktu muda-muda dulu, saya diperkenalkan dengan sejarah tanah air secara umum melalui subjek Kajian Tempatan. Umum sangat waktu ini, sekadar mengingat asal-usul nama setiap negeri, parti-parti awal, tokoh-tokoh kemerdekaan pejuang tanah air. Waktu ini agak teruja nak belajar sejarah, sebab gambar-gambar dalam buku teks yang berwarna-warni dan menarik.
  2. Bila masuk sekolah menengah, buku teks masih agak berwarna-warni, tetapi apa yang diwarkahkan dalam buku yang super tebal tu mula membosankan. Sebabnya informasi yang dipaparkan terlampau banyak, dan agak tidak logik dan tidak relevan untuk hafal semua (lebih-lebih lagi bila kena hafal alat-alat tradisional masyarakat awal Sabah dan Sarawak)
  3. Bila berada di tingkatan tiga, lagilah membosankan subjek sejarah ini. Tambahan pula buku teks yang sangat klasik, tebal, tiada gambar warna- warni, usang, kurang gambar, tebal, berbau, berconteng-conteng (sebab buku SPBT) dan tebal (sengaja tulis tebal tiga kali). Tapi apakan daya, demi PMR, hafal jugalah apa yang ada.
  4. Alhamdulillah berjaya ditempatkan di SASER, belajar sejarah masa ni pun bosan, dan panas (tambahan pula dalam kelas, kipas gagal berfungsi dengan optimum).
  5. Pada masa ini saya mula berfikir, kenapa subjek sejarah sewaktu menengah atas diajar sekadar mengulang apa yang telah diketahui sebelum ini? Dan apa yang diulang-ulang itu pun sebenarnya tidak praktikal untuk saya yang bukan supernasionalis.

Kesimpulannya:

  1. Saya belajar sejarah kerana faktor-faktor luaran sahaja (buku teks menarik, banyak gambar, untuk skor peperiksaan, kipas mesti berfungsi secara optimum) tanpa rasa ruhiah yang mendalam.
  2. Walaupun ada beberapa bab menceritakan tentang permulaan Islam dan kerajaan-kerajaan Islam selepasnya, ia tidak memberi impak secara Islami kerana ia tidak diolah secara Islami.
  3. Informasi kedatangan Islam ke Tanah Melayu juga diceritakan secara kecil-kecilan. Impak Islam kepada Kerajaan Melaka tidak digegarkan dengan selayaknya.
  4. Orang Melayu Islam dengan sejarah Islam dijarakkan sejak kecil lagi, tetapi sejarah orang Melayu Islam dengan sejarah Melayu sentiasa dicanangkan sepanjang masa.
  5. Kita sepatutnya hidup bersama sejarah Islam, dan faham sejarah Melayu Islam.

Where Am I?

You are currently browsing the Apa Yang Saya Belajar category at Ini Iz Is.